Saturday, February 19, 2011

Malaikat Pun Berdoa Untuk Manusia

Assalamualaikum wbt.

Semasa melayari internet, saya terbaca artikel ini dan berhasrat berkongsi maklumat ini bersama tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekelian. Mudah-mudahan kita bersama mendapat manfaat dari pembacaan ini, insyaallah....

Malaikat merupakan makhluk yg senantiasa patuh kepada Allah, tanpa mengira masa dan tempat. Sebagai seorang Islam, kita wajib mengakui kewujudan malaikat sebagaimana yang merupakan perkara kedua dalam Rukun Iman. Dalam kesibukan para Malaikat melaksanakan perintah Allah, mereka juga sering berdoa untuk manusia. Berikut adalah golongan manusia yang mendapat doa daripada Malaikat:

1) Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya”.

2) Orang yang tidur dalam keadaan bersuci :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa”.

3) Orang yang menyambung saf ketika solat berjemaah :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf ketika melakukan solat jemaah”.

4) Orang yang berada di saf depan solat berjemaah :::
Sabda rasulullah s.a.w bermaksud “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas mereka yang berada pada saf depan ketika bersolat jemaah”.

5) Orang yg mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Jika seorang imam selesai membaca surah Al-Fatihah, ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu”.

6) Orang yang duduk di tempat solatnya selepas bersolat :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat”.

7) Orang yang melakukan solat Subuh & Asar secara berjemaah :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal”.

8) Orang yang mendoakan “saudaranya” tanpa pengetahuan orang yang didoakan :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan”.

9) Orang yang membelanjakan harta pada jalan Allah :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang membelanjakan hartanya”.

10) Orang yang sedang makan sahur :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur”.

11) Orang yang sedang menziarahi orang sakit :::
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Tidaklah seorang mukmin menziarahi saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Malulah kita jika MALAS untuk menadah tangan berdoa kepada Allah s.w.t sedangkan Malaikat selalu mendoakan untuk diri kita kepada Allah s.w.t.
Waalahualam......

Zulhisham b Hj Harun Ar Rashid

Disunting dari email yang dikirim oleh YDP PIBG SKBB2 2010/2011

No comments:

Post a Comment