Monday, December 27, 2010

Perutusan Tahun Baru YDP PIBG

Zulhisham b Hj Harun Ar Rashid

Yang Di Pertua PIBG SKBB2


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Segala puji bagi Allah yang masih memberikan kita peluang bernafas untuk meneruskan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Rasanya masih tidak terlambat untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1432 dan tidak terlalu awal untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2011.

Bagi pihak PIBG SKBB2, saya ingin mengambil kesempatan di ruang yang terhad ini untuk mengucapkan selamat tahun baru dan selamat kembali ke sekolah untuk sesi persekolahan tahun 2011 kepada puan Guru Besar, barisan guru-guru penolong kanan, guru-guru sekolah, kakitangan sekolah, murid-murid dari tahap pendidikan khas, pra sekolah hingga tahap enam.

Kepada guru-guru sekolah yang sediada, PIBG mengucapkan Selamat kembali bertugas, manakala kepada guru-guru yang baru berpindah ke sekolah ini, khasnya pn Guru Besar, Puan Azizah bt Hassan, PIBG mengucapkan Selamat datang. PIBG menaruh penuh kepercayaan dengan gandingan mantap sediada dan diperkuatkan dengan barisan kepimpinan baru, sekolah kita akan berada di landasan yang betul untuk menjadi sekolah terbaik daerah menjelang tahun 2015, insyaallah.

Kepada semua guru-guru yang telah berpindah, khasnya mantan Guru Besar, Puan Hjh Ngaedah bt Salleh, PIBG ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas segala sumbangan dan usaha guru-guru tersebut kepada sekolah serta PIBG selama ini dan mengucapkan selamat maju jaya di sekolah/tempat baru kelak.

Kepada ibu bapa/penjaga sekelian, PIBG ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas kerjasama yang diberikan kepada pihak sekolah dalam membantu meningkatkan mutu pendidikan dan mengadakan ruang pembelajaran yang kondusif kepada anak-anak. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa/penjaga yang telah menjelaskan wang sumbangan PIBG untuk tahun 2010. Alhamdulillah, berkat sumbangan tuan/puan, pelbagai aktiviti berfaedah telah berjaya kita laksanakan sepanjang sesi pengajian lepas. Semoga usaha dan komitmen tuan/puan berterusan demi kelangsungan pendidikan anak-anak kita di sekolah ini.

Kepada ibu bapa/penjaga yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 2, PIBG mengucapkan selamat datang dan selamat menganggotai Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 2. Tahniah! saya ucapkan kepada tuan/puan kerana telah memilih untuk berada di sekolah ini, sekolah yang telah berjaya melakarkan sejarah dan pencapaian yang membanggakan baik dari segi kurikulum mahupun kokurikulum walaupun baru setahun jagung usia penubuhannya.

Sempena kedatangan sesi pembelajaran baru ini, saya percaya bukan hanya anak-anak yang teruja untuk ke sekolah pada 3 Januari 2011 nanti, malah ada di kalangan ibu bapa/penjaga yang telah awal-awal lagi memohon cuti daripada majikan masing-masing untuk menghantar anak-anak di samping menyelesaikan urusan persekolah pada tarikh tersebut.

Justeru, demi mengelakkan perkara yang tidak diingini, PIBG ingin memohon kerjasama semua ibu bapa/penjaga agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah. Sila berurusan di kaunter pejabat sekolah dan kepada ibu bapa/penjaga yang berhasrat menunggu anak-anak pada hari pertama persekolah, silalah berbuat sedemikian di tempat-tempat yang bersesuaian dan bukannya di luar bilik darjah yang akan menganggu bukan sahaja konsentrasi pembelajaran anak-anak kita, bahkan urusan pengajaran guru-guru berkenaan.

Berilah kepercayaan kepada guru-guru SKBB2 yang sememangnya professional, dedikasi dan komited dengan tugasan dan amanah masing-masing untuk menjaga anak-anak kita semasa waktu persekolahan. Insyaallah, kepercayaan tuan/puan akan dibalas dengan perlaksanaan tugas yang cemerlang oleh kesemua barisan pendidik SKBB2.

Memandangkan kawasan sekolah yang sempit, PIBG ingin memohon kerjasama daripada semua ibu bapa/penjaga yang berhasrat menghantar anak masing-masing agar tidak memandu kenderaan ke dalam kawasan sekolah. Tuan/puan dinasihatkan meletakkan kenderaan di luar kawasan sekolah dalam keadaan yang tidak menghalang laluan utama di hadapan sekolah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan berjalan kaki ke dalam kawasan sekolah untuk menghantar anak masing-masing.

Kepada pemandu/pengusaha kenderaan sekolah, PIBG ingin memohon kerjasama tuan/puan memberhentikan kenderaan di tempat yang telah dikhaskan untuk kenderaan tuan/puan dalam keadaan yang tersusun bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Sesungguhnya tarikh 3 Januari 2011 nanti adalah hari yang amat kritikal untuk kita semua. Marilah kita bersama bertoleransi demi keselesaan anak-anak, guru-guru dan kita bersama.

Akhir kalam, saya mewakili semua AJK PIBG sesi 2010/11 mengucapkan selamat tahun baru dan selamat maju jaya. Tanamlah azam baru kita untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Wallahualam. Wabillahitaufik wal hidayah, assalamualaikum wbt.


upload by admin: Sham

2 comments:

  1. Selamat tahun baru pada semua warga SKBB2. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Sama-sama kita kukuhkan permuafakatan dan eratkan silaturrahim.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi, saya berasa terharu di atas harapan tuan YDP yang saya anggap mewakili harapan ibu bapa dan penjaga khususnya. InsyaAllah dengan keikhlasan tuan/puan kita bergerak dalam satu pasukan, agar apa yang kita hasratkan akan menjadi kenyataan. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Pn Hjh Ngaidah, barisan GPK, barisan kepimpinan PIBG,semua murid serta ibu/bapa, guru-guru, staf sokongan dan staf swasta yang telah menjadi perintis kejayaan SKBB2. Selamat tahun baru.

    ReplyDelete